PUTRAJAYA: Malaysia akan mengutus surat kepada Perdana Menteri Thailand dan Kemboja bagi membolehkan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) memasuki kawasan konflik di kedua-dua negara itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, beliau sendiri telah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan surat kepada kedua-dua pemimpin negara itu.
Beliau berkata, AOT yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN akan berada di lapangan secara berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata sedia ada.
“Penugasan itu amat mencabar kerana ia melibatkan pemantauan kawasan sempadan sepanjang kira-kira 840 kilometer dan ia juga akan dibantu secara logistik oleh Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemasyhuran ‘Hall of Fame’ kepada personaliti pertama Maktab Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional, di sini, hari ini.
Katanya, setelah selesai Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) baru-baru ini, sebuah pasukan pemerhati iaitu AOT telah dipersetujui untuk diwujudkan.
Mohd Nizam berkata, AOT ini disertai atase pertahanan dari negara-negara ASEAN dan ia diketuai oleh penyiasat pertahanan Malaysia di Bangkok dan Phnom Penh.
“Semalam, mereka di Bangkok telah memberi taklimat kepada 75 pegawai kanan daripada pihak Thailand dan juga langkah-langkah yang harus diambil.
“Begitu juga dengan Phnom Penh. Pada hari esok dan lusa, mereka akan buat lawatan tapak di kawasan yang zon konflik. AOT ini diberikan mandat untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia telah diberi mandat untuk mengetuai AOT dan perkara itu dipersetujui selepas mesyuarat GBC pada 28 Julai lalu.
Gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai lalu dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia, yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak. – UTUSAN