KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir berjaya menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi kes kematian pelajar tingkatan satu itu yang akan bermula pada bulan depan.
Salah seorang peguam, Shahlan Jufri, permohonan mereka telah diterima ketika pendengaran di Mahkamah Koroner hari ini, selepas ia dikemukakan pada Ogos 19 lalu.
Katanya, Keputusan tersebut membolehkan mereka memeriksa dan menyoal balas saksi yang akan dipanggil dalam inkues tersebut.
Namun begitu, difahami mereka perlu mematuhi empat syarat yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
Shahlan berkata, pihaknya juga akan mempunyai akses kepada dokumen-dokumen daripada pihak pendakwaan yang dijangka diserahkan pada minggu depan.
Bagi senarai saksi pula ia dijangka akan diberikan pada esok.
Tambah Shahlan, pihak peguam yang membela lima remaja perempuan tertuduh dalam kes buli Zara turut mengemukakan permohonan untuk menjadi orang berkepentingan dalam inkues nanti.
Menurut beliau, pasukan mewakili keluarga Allahyarham telah membantah permohonan tersebut, namun pihak Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai bantahan.
Ini mengakibatkan permohonan itu dibenarkan oleh Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Hakim Azreena Aziz, yang bersidang sebagai koroner.
“Agak mengecewakan di situ bila mereka dibenarkan menjadi pihak berkepentingan. Kami menghormati keputusan, cuma kecewa sebagai manusia biasa,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Kota Kinabalu.
Shahlan berkata, pasukan peguam mewakili lima tertuduh itu turut mengemukakan satu permohonan ketika pendengaran itu, iaitu agar prosiding inkues itu ditangguhkan.
Pihaknya serta AGC telah membantah permohonan tersebut, dan ditolak oleh hakim koroner.
“Ibu Zara yang hadir ketika pendengaran hari ini bersemangat. Memang inilah hari yang dinanti-nantikan. Apabila permohonan tangguhan itu tidak dibenarkan, saya percaya beliau gembira untuk meneruskan inkues ini.
“Dia dalam keadaan tenang. Insyallah. Beliau turut memberitahu segala kenyataan hanya dikeluarkan pihak peguam,” katanya.
Sementara itu, salah satu peguam yang membela lima remaja tertuduh, Datuk Ram Singh, menafikan bahawa permohonan pihak beliau bertujuan untuk melambatkan prosiding inkues tersebut.
Ram berkata, mereka mengemukakan permohonan tersebut di bawah Seksyen 333 (3) Kanun Tatacara Jenayah sebagai sebahagian daripada proses undang-undang.
“Langkah itu diperuntukkan di dalam undang-undang, dan kami rasa ia boleh digunakan dalam kes ini. Bagaimanapun, permohonan kami telah ditolak, jadi inkues tetap berjalan. Kami akan menunggu arahan seterusnya dari pihak mahkamah,” kata beliau.
Menurutnya mereka belum diberi senarai saksi kanak-kanak yang akan dipanggil dalam inkues nanti dan belum pasti sama ada lima tertuduh itu akan dipanggil untuk memberi keterangan. – UTUSAN










