PETALING JAYA: Tiga pusat pendidikan kelolaan Pas iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti) adalah sah di sisi undang-undang dan tidak bercanggah dengan Akta Pendidikan.
Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, dakwaan bahawa ketiga-tiga institusi pendidikan itu mengandungi unsur indoktrinasi politik seperti yang dilaporkan adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
“Label ‘ternak walaun seawal prasekolah’ adalah tuduhan liar dan sangat tidak bertanggungjawab. Perkataan ‘ternak’ digunakan untuk binatang, dan meletakkan murid-murid Pasti setaraf dengan haiwan adalah keterlaluan dan tidak berakhlak.
“Saya berharap bukan istilah itu yang digunakan oleh saudara Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Dr. Muhammad Faiz Na’aman kerana ia jelas melampaui batas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, Pasti, Sriti dan Smiti bukan medan politik kepartian sebaliknya berperanan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, akhlak mulia dan asas akademik yang terbukti melahirkan generasi seimbang dan berakhlak.
“Penyamaan pendidikan berasaskan Islam dengan istilah ‘penternakan’ adalah penghinaan terhadap usaha pendidikan yang ikhlas dan satu bentuk diskriminasi kepada ibu bapa yang memilih Pasti untuk anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, status guru di Pasti adalah sebagai sukarelawan, bukan pekerja formal di bawah mana-mana struktur penggajian sekali gus tidak tertakluk kepada perundangan gaji minimum.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Faiz memohon maaf secara terbuka kepada seluruh warga Pasti susulan kenyataannya yang menimbulkan salah faham dan kontroversi.
Beliau menarik balik penggunaan istilah ‘menternak walaun’ yang dikaitkan dengan institusi pendidikan prasekolah itu.
Katanya, permohonan maaf itu dibuat dengan ikhlas dan rendah hati selepas menerima nasihat daripada rakan-rakannya berhubung komen yang ditulis di media sosial .
“Niat asal saya membuat kenyataan tersebut adalah untuk memberi teguran kepada Pas agar melaksanakan gaji minimum RM1,700 kepada tenaga pengajar,” katanya.-UTUSAN










