Kota Kinabalu: Pas Sabah akan bergerak bersama Perikatan Nasional (PN) dan menggunakan logo gabungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sekali gus menamatkan spekulasi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, keputusan itu muktamad dan pengagihan kerusi sedang diperincikan dengan rundingan antara parti gabungan berjalan lancar.
“Setakat ini belum dimuktamadkan berapa kerusi yang akan ditandingi. Tetapi PN akan bergerak solo tanpa rundingan dengan parti lain, dan kita akan menggunakan logo PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Aliakbar menegaskan penggunaan logo PN adalah strategi konsisten kerana gabungan itu pernah menerajui pentadbiran negeri, selain mempunyai kekuatan pada peringkat akar umbi.
Beliau berkata, berbanding pilihan raya terdahulu, Pas kini lebih bersedia dengan jentera di semua peringkat sudah siap menanti pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengenai strategi menarik pengundi muda, beliau berkata Pas dan PN akan menampilkan calon pelbagai latar belakang termasuk wanita, profesional, anak muda serta tokoh berpengalaman.
“Kita akan kemukakan calon terbaik yang bersih daripada salah guna kuasa. Fokus kita adalah membawa budaya politik baharu, bukan politik maki hamun, dengan tumpuan pada masa depan Sabah tanpa rasuah,” katanya.
Beliau yang menafikan tanggapan PN dan PAS hanya parti Semenanjung, turut menegaskan gabungan itu bersifat nasional dengan membawa misi ‘Sabahan for Malaysia’.
“Orang Sabah bukan sahaja mampu memimpin negeri, tetapi juga negara. Rakyat kini lebih menilai integriti calon berbanding persepsi parti,” katanya.
Aliakbar menegaskan rakyat Sabah kini lebih menilai integriti calon berbanding persepsi parti, dan Pas menawarkan calon bersih yang mampu membawa budaya politik beramanah.
Pas mula bertapak di Sabah sejak 1986 dengan bertanding tiga kerusi Parlimen.
Pada PRU14 tahun 2018, parti itu bertanding di 18 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen, namun tidak memenangi sebarang kerusi. – UTUSAN










