KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi Lane Free Flow (MLFF) tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, sebaliknya akan dilaksanakan sepenuhnya melalui pendekatan perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan projek tersebut membabitkan kos mencecah RM3.46 bilion adalah tidak berbangkit kerana kerajaan tidak menanggung sebarang perbelanjaan.
“Seperti yang saya sebut, kerajaan telah buat keputusan pelaksanaan MLFF ini adalah sepenuhnya melalui pendekatan business to business, bukan melibatkan dana kerajaan.
“Ia tidak akan melibatkan walau satu sen implikasi kewangan kepada kerajaan. Oleh itu, tidak timbul isu berapa bilion pun nilainya kerana kerajaan tidak terbabit dari segi kos,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mengenai status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF di negara ini.
Ahmad berkata, semua 33 lebuh raya bertol diberi tempoh dua tahun untuk berbincang dengan syarikat pilihan masing-masing bagi melaksanakan sistem berkenaan.
“Tempoh dua tahun ini diberi untuk syarikat konsesi berbincang dan membuat keputusan dengan mana-mana syarikat teknologi yang mereka pilih,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa projek perintis telah mula dijalankan, antaranya di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning–Shah Alam oleh Prolintas yang merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Prolintas sedang menguji sistem MLFF dengan kerjasama Touch ‘n Go dan CIMB. Mereka telah memasang gantri dan peralatan berkaitan bagi tujuan percubaan,” katanya.
Sistem MLFF dijangka memberi kelancaran kepada pengguna lebuh raya dengan membolehkan kenderaan terus bergerak tanpa perlu berhenti di plaza tol, selain mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan kutipan tol. – UTUSAN









