KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sekatan atau cabaran pasaran Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan besar kepada industri minyak sawit negara memandangkan eksport ke negara itu hanyalah 1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, minyak sawit Malaysia yang diperakui melalui pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) mempunyai ciri dan fungsi unik yang sukar digantikan dengan minyak lain.
“Oleh itu, tahap kebergantungan industri di AS terhadap bahan berasaskan sawit yang mampan adalah tinggi. Berdasarkan faktor ini, kesan langsung daripada sekatan atau cabaran pasaran AS terhadap industri sawit Malaysia dijangka minimum,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung pelan tindakan jangka pendek dan sederhana kerajaan bagi membantu industri sawit menyesuaikan diri dengan pasaran AS serta bentuk insentif fiskal, pinjaman atau geran khas kepada pengeksport dan pengeluar yang terjejas akibat tarif.
Johari berkata, pada 2024, Malaysia mengeksport sebanyak 191,231 metrik tan minyak sawit ke AS iaitu bersamaan hanya 1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara.
Beliau berkata, industri sawit Malaysia telah lama berdepan pelbagai cabaran sejak mula beroperasi, namun terus berkembang sebagai antara sektor ekonomi utama negara.
Katanya, hampir 70 peratus pengeluaran sawit negara diterajui estet atau syarikat perladangan yang turut mengeksport hasil sekali gus menjadikan industri sawit tempatan kukuh dan dinamik dalam mendepani persaingan global.
“Pada masa sama, kerajaan tetap komited membantu pekebun kecil dengan pelbagai bentuk sokongan termasuk Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit serta geran khas bagi pembekalan produk kawalan penyakit reput pangkal batang ganoderma.
“Langkah-langkah ini dapat mengurangkan kesan kepada pekebun kecil susulan sebarang perubahan dasar perdagangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN