PARLIMEN: RM42.17 bilion bayar hutang 1MDB  - Utusan Malaysia

PARLIMEN: RM42.17 bilion bayar hutang 1MDB 

1MDB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyalurkan dana sebanyak RM42.17 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bagi membayar  hutang dan memenuhi komitmen syarikat itu, setakat 31 Julai lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM15.44 bilion merupakan dana Kementerian Kewangan (MOF) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang disalurkan dalam bentuk pendahuluan pemegang saham atau pinjaman, manakala, RM26.73 bilion daripada dana hasil pemulihan aset 1MDB. 

“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM28.93 bilion digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB, manakala RM13.24 bilion adalah bagi bayaran faedah serta komitmen syarikat.

“Setakat ini, baki hutang 1MDB melibatkan bayaran prinsipal dan faedah Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) sehingga 2039 adalah RM9.02 bilion, merangkumi prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah sebanyak RM4.02 billion,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai  jumlah dana awam yang berjaya dipulihkan oleh kerajaan sejak 2022 termasuk pemulangan aset berkaitan kes-kes berprofil tinggi seperti 1MDB dan lain-lain.

Bagi dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC), Anwar berkata, sebanyak RM5.35 billion telah disalurkan kerajaan bagi membiayai prinsipal, faedah hutang dan memenuhi komitmen syarikat.

“Proses untuk mendapatkan semula dana 1MDB dan SRC masih berjalan dan ia merupakan suatu proses yang rumit dan panjang serta memakan masa bertahun-tahun. 

“Ini kerana, ia bukan sahaja melibatkan kerjasama di antara beberapa agensi tempatan dengan agensi asing daripada pelbagai negara, malah turut melibatkan proses perundangan di mahkamah dan proses rundingan penyelesaian.

“Kerajaan amat komited dalam meneruskan usaha mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB dan SRC yang diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang serta memenuhi komitmen 1MDB dan SRC mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN