KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan agar had umur tamat persekolahan ditetapkan pada 16 tahun bagi membolehkan generasi muda memasuki pasaran pekerjaan lebih awal.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, langkah itu penting memandangkan Malaysia sedang menuju status negara menua dan memerlukan tenaga kerja muda yang lebih awal.
“Sekolah mesti berakhir pada umur 16 tahun kerana satu, kita menuju status negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita boleh menyertai sektor pekerjaan seawal usia 21 tahun,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tumpuan utama RMK13 kali ini adalah terhadap sektor pendidikan, berbeza daripada fokus pembangunan ekonomi dan projek besar dalam RMK12 dan perancangan 2023–2024.
Jelasnya, kerajaan memberi keutamaan kepada pendidikan awal kanak-kanak, khususnya dalam menyediakan perkhidmatan prasekolah secara universal kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun.
“Kalau pendidikan awal tidak ditekankan, anak-anak ini akan terus ketinggalan bila masuk darjah satu atau darjah lima. Negara lain membelanjakan sumber untuk pendidikan pada peringkat awal, bukan semasa universiti atau sekolah menengah,” katanya.
Katanya, walaupun RMK-13 tidak menyatakan angka atau peruntukan khusus, komitmen jelas kerajaan ialah untuk memastikan semua kanak-kanak di seluruh negara mendapat akses kepada pendidikan prasekolah dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
“Siapa pun jadi kerajaan selepas ini, keutamaan mesti diberikan kepada prasekolah yang menyeluruh. Ini asas untuk pembangunan negara pada masa depan,” katanya.-UTUSAN










