KUALA LUMPUR: Pembelian pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion bagi fasa kedua tidak akan menjejaskan tahap hutang negara mahupun memberi impak kepada defisit fiskal Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pembelian pesawat berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan ia tidak menimbulkan sebarang kebimbangan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
Katanya, peningkatan paras hutang kerajaan adalah berpunca daripada keperluan kerajaan menampung defisit fiskal, khususnya dalam menyediakan dana bagi membiayai perbelanjaan pembangunan (DE) yang dirancang untuk kepentingan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Pada masa ini, semuanya berada dalam jangkaan kita,” katanya bagi menjawab pertanyaan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang membangkitkan langkah kontingensi kerajaan dalam mengawal beban hutang negara selepas Malaysia membuat komitmen besar untuk membeli pesawat dari Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN










