KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan kadar pendapatan dikenal pasti sebagai antara masalah utama dihadapi pekerja gig ketika ini apabila kadar bayaran ditentukan sepenuhnya oleh pihak platform tanpa sebarang hak atau kuasa untuk pekerja terbabit.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, bagi mengatasi isu berkenaan, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 memperuntukkan penubuhan sebuah Majlis Perundingan seperti digariskan dalam Fasal 46.
Katanya, majlis tripartite ini akan merangkumi tiga pihak iaitu kerajaan, pekerja gig dan syarikat platform.
“Antara fungsi serta kuasa majlis seperti diperuntukkan dalam Fasal 47(1) dan (2) adalah membincangkan isu berkaitan kadar bayaran, standard minimum kontrak dan sebagainya.
“Dengan adanya RUU ini, pekerja gig buat pertama kali akan diberi hak dan kuasa untuk bersama-sama menentukan kadar bayaran,” katanya ketika membentangkan RUU Pekerja Gig 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Chee Keong berkata, kaedah Majlis Perundingan dilihat sebagai jalan tengah paling sesuai bagi menyelesaikan kemelut kadar bayaran yang sekian lama membelenggu sektor ekonomi gig.
Katanya, sekiranya syor kadar bayaran oleh majlis itu dipersetujui, maka satu perintah rasmi akan dikuatkuasakan terhadap sektor berkaitan. – UTUSAN










