KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hangat selepas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan terasa hati disamakan seperti ‘gajah’.
Ketika mencelah ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Mohd. Sany mempersoalkan kenapa nama haiwan seperti beruk dan kambing tidak disebut.
“Tadi Yang Berhormat ada sebut tentang gajah, cuma beruk dan kambing dia tidak sebut.
“Cuma mahu tanya, semasa menjadi Kerajaan dahulu, tidak minta ke projek lebuh raya dengan Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin)? Itu soalan saya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Jawab Ahmad Fadhli : “Bagus juga nama-nama binatang, kita masukkan dalam ucapan Yang Berhormat Hulu Langat selepas ini. Kadang-kadang sesuai (gajah) dengan yang bertanya itu.”
Mohd Sany : “Saya tanya elok-elok tadi itu, kita sahabat. Awak dari Parti Islam Semalaysia (Pas), kena tarik semula kenyaatan itu. Tiada adab macam ini. Tiada adab, biadab.”
Ahmad Fadhli: “Saya jawab pun elok.”
Pertelingkahan itu kemudian dihentikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengarahkan Mohd Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas meneruskan ucapan.
“Tak payah jawab tentang kambing, unta, lembu, beruk, teruskan ucapan,” katanya.-UTUSAN










