PARLIMEN: Mekanisme pemantauan hasil kutipan tambahan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

PARLIMEN: Mekanisme pemantauan hasil kutipan tambahan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mekanisme pemantauan dan audit ke atas hasil kutipan tambahan daripada pelarasan tarif air yang dijanjikan syarikat air negeri bagi tujuan pembaikan dan pembangunan infrastruktur bekalan air, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, persoalan itu dibangkitkan oleh Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Mohd Isam juga meminta kementerian menjelaskan tindakan terhadap operator yang gagal memenuhi indeks prestasi utama (KPI) selepas menerima manfaat pelarasan tarif tersebut.

Pada sesi sama, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah yang telah diambil bagi mencapai hasil rundingan tarif sebanyak 19 peratus serta konsesi yang ditawarkan oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pula menyoal Menteri Luar berhubung langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mendesak komuniti antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menghentikan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Gaza. 

Sementara itu, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai jumlah pekerja informal dalam sektor ekonomi penjagaan yang telah didaftarkan oleh kementerian serta dasar dan persediaan bagi menghadapi masyarakat yang semakin menua.

Selepas tamat sesi tersebut, Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membentangkan RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ yang menggariskan perancangan strategik negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN