KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti beberapa peraturan sedia ada yang perlu dipinda bagi membolehkan anak tanpa dokumen bersekolah serta mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini wujud kekangan dari segi keperluan dokumen pengenalan diri dan pengesahan daripada beberapa agensi sebelum kanak-kanak berkenaan diterima masuk ke sekolah.
“Soal pendidikan anak tanpa dokumen ini memang menjadi perhatian kita khususnya apabila ada keperluan untuk dikenal pasti daripada pelbagai aspek.
“Contohnya, apabila seorang daripada ibu atau bapanya adalah warganegara Malaysia atau dilahirkan di negara ini, proses pengesahan dokumen dan pengenalan diri perlu melalui beberapa agensi terlebih dahulu.
“Namun dalam masa sama, kita sudah mengenal pasti beberapa peraturan yang perlu dipinda dan dilihat secara progresif supaya anak-anak ini boleh terus dibantu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit berhubung isu keciciran murid akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri serta inisiatif kerajaan bagi membolehkan kanak-kanak tanpa dokumen berkenaan mengikuti persekolahan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM kini melaksanakan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kota Kinabalu, Sabah yang dikhususkan untuk anak tanpa dokumen agar mereka mendapat pendidikan rasmi.
“Kita boleh perluas program ini ke kawasan lain termasuk di Belaga, Sarawak. Malah, saya akan minta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyediakan data berkaitan supaya pelaksanaan sekolah bimbingan ini dapat diperluaskan,” katanya. – UTUSAN