KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan pertahanan negara menghadapi ketidaktentuan geopolitik global dan inisiatif kerajaan membangunkan sosioekonomi masyarakat India antara tumpuan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) kawalan terhadap Kecerdasan Buatan (AI) turut menjadi tumpuan Ahli Parlimen.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.
Pada sesi sama, S. Kesavan (PH-Sungai Siput) pula meminta Perdana Menteri menyatakan fokus kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) atau agensi lain dalam usaha pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.
Seterusnya pada sesi soal jawab, Tan Hong Pin (PH-Bakri) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai kemajuan dicapai dalam menyelesaikan baki 11,000 permohonan kewarganegaraan menjelang Jun 2025 dan langkah jangka pendek yang akan diambil untuk membantu pemohon belum berjaya.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tindakan kementerian terhadap 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat sebarang bayaran selepas 10 tahun, membabitkan jumlah pinjaman RM5 bilion.
Lip Eng turut bertanya sama ada kementerian bercadang memansuhkan hutang PTPTN secara bersasar bagi golongan miskin tegar.
Selain itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Komunikasi menyatakan mekanisme kawalan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sama ada kerajaan akan menggubal undang-undang yang mewajibkan penerbit kandungan meletakkan label pada konten, termasuk imej serta video yang dijana atau dimanipulasi oleh AI.
Selepas sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.
Seramai 161 Ahli Parlimen telah menyertai sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula 4 Ogos lalu.
RMK13 bertema ‘Melakar Semula Pembangunan’ dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, pada 31 Julai lalu dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.-UTUSAN










