KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berumur bawah 15 tahun dilarang bekerja kecuali dalam pekerjaan yang dibenarkan secara khusus dan tidak membahayakan kesihatan, keselamatan atau moral mereka.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, bagi golongan muda berusia 15 hingga 18 tahun pula, mereka hanya dibenarkan bekerja dalam keadaan tertentu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan menurut Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350).
Katanya, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sentiasa komited menangani isu penggajian kanak-kanak dan memastikan pematuhan undang-undang berkaitan.
“Bagi mempertingkat penguatkuasaan, JTKSM bersama Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Sarawak sentiasa melaksanakan pemeriksaan berkala di premis pekerjaan bagi mengesan dan membanteras penggajian buruh kanak-kanak. Sehingga Jun 2025, sebanyak 21,352 premis majikan telah diperiksa.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah akan diambil,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai usaha kementerian memperketat penguatkuasaan kesalahan menggaji kanak-kanak bawah umur serta keberkesanan undang-undang sedia ada dalam mencegah eksploitasi buruh kanak-kanak.
Chee Keong berkata, selain penguatkuasaan, kementerian turut menjalankan aktiviti kesedaran dan pendidikan kepada majikan serta masyarakat umum mengenai kepentingan pendidikan kanak-kanak dan kesan negatif buruh kanak-kanak terhadap pembangunan masa depan mereka.
“Keberkesanan undang-undang sedia ada juga disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan efektif dalam menangani sebarang bentuk eksploitasi buruh kanak-kanak di negara ini,” katanya. – UTUSAN