KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Kerajaan iaitu Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) bertikam lidah apabila apabila Zhemin mencadangkan Ka Siong menyertai Pas kononnya Presiden MCA itu mendapat sokongan pembangkang ketika berbahas.
Cadangan itu dibuat selepas Ka Siong selesai membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat, hari ini.
“Ahli Parlimen Ayer Hitam berucap ke arah pembangkang, bolehlah sertai pembangkang. Masuk Pas, Pas alu-alukan MCA,” kata Zhemin secara sinis ketika mencelah.
Terdahulu, Ka Siong ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yien kerana hanya memandang ke arah blok pembangkang ketika berucap.
Alice merujuk Peraturan Mesyuarat 31(1) yang menetapkan setiap ahli Dewan hendaklah menghalakan ucapan kepada pengerusi, bukan kepada mana-mana blok tertentu.
Susulan teguran itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN) tampil mempertahankan Ka Siong sambil menyelar kenyataan Zhemin yang disifatkan tidak wajar.
Ka Siong pula membidas kenyataan Zhemin, menyifatkannya sebagai retorik dan mendesak agar ia ditarik balik.
“Minta tarik balik. Itu kenyataan retorik. Setiap kali saya berucap, itulah gelagat mereka,” katanya.-UTUSAN










