PARLIMEN: Jawatankuasa rentas 12 kementerian ditubuh pacu transformasi desa - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Jawatankuasa rentas 12 kementerian ditubuh pacu transformasi desa

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan penubuhan High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa sebagai platform strategik merentasi kementerian bagi menyelaras dasar serta pelaksanaan menyeluruh untuk pembangunan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi menangani cabaran kompleks pembangunan desa termasuk pertindihan fungsi kementerian dan agensi, kekangan sumber serta pelaksanaan program secara silo.

“Jurang pembangunan antara bandar dan desa perlu ditangani segera agar 8.1 juta penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat julung kali HLC di Parlimen, hari ini. 

Berdasarkan laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Ahmad Zahid berkata,  jika tiada penyelarasan menyeluruh, tiada negara ASEAN dijangka mampu mencapai sepenuhnya sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan pembangunan luar bandar.  

Justeru, katanya, HLC akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun atau mengikut keperluan, disokong oleh jawatankuasa kerja dalam enam bidang utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan, ekonomi desa, teknologi dan pendigitalan, pelancongan desa serta infrastruktur desa.

Sebanyak 12 kementerian dilantik sebagai ahli tetap HLC, yang mana penubuhannya sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada 31 Julai lalu.

“Antara agenda utama mesyuarat termasuk meningkatkan kemudahan sekolah luar bandar, mempromosi pelancongan desa, memperhatikan kebajikan warga emas dan golongan berkeperluan khas, selain menambah baik infrastruktur kesihatan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata, beberapa inisiatif rentas kementerian telah dimulakan, antaranya sistem permohonan berpusat UP_TVET untuk kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); program Inap Desa Tahun Melawat Malaysia 2026; Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) sebagai platform keusahawanan serta Sistem Tunggal Permohonan SBP-MRSM.

“Melalui HLC ini, kerajaan berhasrat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di desa, melahirkan tekno-usahawan luar bandar, memperkukuh peranan Lembaga Kemajuan Wilayah dan merancakkan sektor pelancongan desa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN