PARLIMEN: Caruman Perkeso bagi setiap transaksi pekerja gig diwajibkan

PARLIMEN: Caruman Perkeso bagi setiap transaksi pekerja gig diwajibkan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua penyedia platform pekerjaan gig kini diwajibkan membuat potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi setiap transaksi pendapatan pekerja gig.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata, peratus atau kadar potongan bagi setiap transaksi akan ditetapkan oleh menteri melalui peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan kelak.

“Perkeso akan memperkukuh mekanisme pemantauan dan audit berkala terhadap penyedia platform bagi memastikan semua kewajipan di bawah perlindungan keselamatan sosial dipatuhi oleh penyedia platform.

“Sistem digital integrasi juga sedang dibangunkan bagi memudahkan penyelarasan data pendaftaran caruman pekerja gig secara berpusat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai mekanisme penguatkuasaan pematuhan gaji minimum dan perlindungan sosial kepada pekerja gig serta cadangan kerajaan untuk mewajibkan caruman KWSP dan Perkeso bagi pekerjaan ekonomi.

Selain itu, Steven Sim berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan i-Saraan yang merupakan caruman sukarela.

Katanya, inisiatif itu memberi peluang kepada pekerja sektor ekonomi gig dan mereka yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap untuk menyertai program khas kerajaan bagi tujuan persaraan.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada untuk mewajibkan caruman KWSP kepada para pekerja gig bergantung kepada keputusan Kementerian Kewangan” katanya.

Steven Sim turut memaklumkan, Majlis Perundingan Gig yang ditubuhkan pada November tahun lalu bertanggungjawab menasihati dan membuat syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula tarikh permulaan kuat kuasa, penyemakan perintah dan perkara lain berhubung pekerja gig serta entiti kontrak.

“Majlis itu akan berfungsi secara tripartite dengan membabitkan penyertaan wakil pekerja gig, wakil majikan atau penyedia platform serta kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN