PARLIMEN: Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dikaji

PARLIMEN: Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dikaji

Dzulkefly Ahmad - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji semula kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dan Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) bagi menjamin kebajikan petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sentiasa komited untuk berunding dan melaksanakan sesi libat urus dengan agensi pusat berhubung perkara itu.

Katanya, selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kadar BIPK yang sebelum ini berdasarkan peratus gaji pokok telah dipegunkan kepada kadar tetap.

“Bagi jururawat dan penolong pegawai perubatan lantikan sebelum 1 Disember 2024, kadar tetap adalah berdasarkan amaun terakhir diterima sebelum tarikh tersebut.

“Bagi lantikan baharu mulai 1 Disember 2024 pula, kadar ditetapkan sebanyak RM165 bagi gred 9 hingga 15, manakala RM135 bagi gred 5 hingga 8,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr. Lingeshwaran Datuk Seri R. Arunasalam mengenai BIPK yang dipegunkan selaras dengan pelaksanaan SSPA dan sama ada kadar Elaun Pos Basik akan dikaji semula bagi mengatasi isu kekurangan jururawat di KKM.

Menurut beliau, bagi BIPB pula, bayaran insentif RM100 sebulan boleh dipertimbangkan kepada petugas kesihatan yang menamatkan kursus lanjutan dengan Sijil Pos Basik atau Diploma Lanjutan.

“Pertimbangan itu tertakluk kepada bidang yang diluluskan untuk bayaran BIPB dan petugas perlu melaksanakan tugas berdasarkan kemahiran dalam bidang berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN