PARLIMEN: Aduan jalan berlubang mesti dibaiki 24 jam

PARLIMEN: Aduan jalan berlubang mesti dibaiki 24 jam

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap kerosakan jalan khususnya jalan berlubang di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) mesti ditampal dalam tempoh 24 jam, selaras prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan jalan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, arahan itu turut dipanjangkan kepada kementerian dan agensi lain terlibat bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita memberi masa 24 jam untuk tampal jalan berlubang di jalan Persekutuan. Kita harap kementerian-kementerian lain juga mengikut SOP yang sama.

“Ada lima faktor utama yang menyebabkan kerosakan jalan termasuk jalan berlubang seperti faktor cuaca hujan, panas dan banjir yang mempercepatkan kerosakan permukaan jalan.

“Selain itu, kenderaan berat melebihi muatan, jangka hayat jalan juga mempunyai tempoh hayat yang akhirnya akan rosak. Kualiti turapan bergantung kepada jenis bitumen dan bahan yang digunakan serta kerja utiliti yang tidak sempurna,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Haji Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai tindakan susulan yang diambil selepas aduan diterima dalam aplikasi MyJalan dan punca utama jalan berlubang di Sarawak.

Ahmad berkata, bagi aduan kerosakan jalan lain seperti lampu isyarat, papan tanda dan tanah runtuh, tempoh tindakan ditetapkan adalah 15 hari bekerja.

Dalam menangani cabaran struktur, beliau berkata, bagi jalan bertingkat, kementerian menjalankan Swell Investigation (SI) bagi memastikan kestabilan tanah dan struktur.

“Bagi kawasan kerap banjir, jalan-jalan akan ditinggikan supaya tidak terputus ketika musim tengkujuh,” katanya.

Mengenai aplikasi MyJalan, katanya, ia menerima sambutan menggalakkan dan menerima 809 aduan di Sarawak setakat ini.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 68 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan KKR dengan 43 aduan telah diselesaikan, manakala 25 lagi dalam tindakan dan selebihnya 741 aduan (91.59 peratus) melibatkan agensi bertanggungjawab lain.

“Aplikasi MyJalan telah ditambah baik berdasarkan cadangan pengguna dan teknologi terkini, termasuk ciri yang membolehkan aduan dibuat tanpa perlu berada di lokasi kerosakan, asalkan pengguna mengetahui lokasi tersebut melalui carian Google Maps dalam aplikasi.

“Setakat ini, seramai 53,000 pengguna telah memuat turun aplikasi MyJalan melalui Apple Store, Google Play dan Huawei App Gallery,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN