PARLIMEN: 640 tan daging khinzir seludup dirampas sejak Januari

PARLIMEN: 640 tan daging khinzir seludup dirampas sejak Januari

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 640 tan daging khinzir dirampas menerusi 24 kes cubaan penyeludupan haram yang dikesan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dari Januari hingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, semua kes tersebut hasil penguatkuasaan berterusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk sempadan negara.

Katanya, pemeriksaan melibatkan semakan dokumen import, sijil kesihatan veterinar dan pemeriksaan fizikal kontena selain persampelan bagi memastikan produk bebas penyakit sebelum diluluskan kemasukan.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) di Dewan Rakyat hari ini mengenai tindakan MAQIS berhubung pengimportan dan penyeludupan daging khinzir dari luar negara termasuk Thailand yang mempunyai rekod wabak Streptococcus suis dan Demam Babi Afrika (ASF).

Arthur berkata, selain MAQIS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut merekodkan 18 kes pemindahan karkas babi tanpa kebenaran di beberapa negeri termasuk Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jumlah keseluruhan rampasan DVS itu, katanya, dianggarkan 114 tan metrik dengan nilai RM3.05 juta.

“Kerajaan tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) serta Akta Binatang 1953 (Akta 647),” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik turut diperkukuh menerusi operasi bersepadu bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya lagi, KPKM juga mempertingkatkan kerjasama dengan negara jiran selain mempergiat program kesedaran orang ramai dalam membanteras kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta industri penternakan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN