PARLIMEN:  2,317 warga emas berumur 60 dan ke atas aktif mencari kerja

PARLIMEN:  2,317 warga emas berumur 60 dan ke atas aktif mencari kerja

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,317 warga emas berumur 60 dan ke atas masih aktif mencari pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia,  Steven Sim Chee Keong berkata, angka tersebut berdasarkan maklumat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh Januari sehingga 1 Ogos lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 265 warga emas berjaya ditempatkan bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) giat melaksanakan pelbagai inisiatif agar warga emas terus kekal menyumbang kepada produktiviti negara melalui penyertaan mereka dalam tenaga kerja, sekaligus mengekalkan taraf pendapatan isi rumah.

Antara inisiatif dilaksanakan adalah Program Profiling di bawah Perkeso, khusus membantu warga emas mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pendidikan, kemahiran, pengalaman dan minat mereka.

“Selain itu, inisiatif Program Daya Kerjaya 2.0 di bawah Belanjawan 2024 yang merupakan satu insentif penggajian diberikan kepada majikan yang menggaji kumpulan sasar dalam kalangan golongan mudah terjejas termasuk warga emas, mendapatkan pekerjaan dan gaji dengan nilai yang lebih tinggi,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di portal Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kementerian  menyatakan inisiatif sudah dirangka atau dalam perancangan supaya warga emas boleh terus menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara selepas bersara.

Berdasarkan statistik Perkeso, seramai 3,505 majikan telah menggajikan warga emas melalui program itu dan seramai 5,754 warga emas telah menerima manfaat di bawah inisiatif berkenaan.

Steven Sim berkata, majikan yang menggaji warga emas hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955. 

Katanya, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah diberi kuasa untuk menyiasat dan memutuskan pertikaian berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan, termasuk membabitkan warga emas yang dilayan secara tidak adil atau dinafikan peluang pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN