BUKIT MERTAJAM: Paramount Property melebarkan sayapnya apabila melancarkan projek pembangunan hartanah terbaharu di Pulau Pinang iaitu Paramount Embun Hills dalam usaha merealisasikan perbandaran lestari dan gaya hidup berteraskan alam semulajadi di Bukit Mertajam di sini.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM460 juta itu merupakan projek pembangunan hartanah ketiga oleh Paramount Property di Pulau Pinang selepas Utropolis Batu Kawan dan Paramount Palmera di Bukit Minyak.
Terletak di sepanjang Jalan Kulim di kaki Bukit Mertajam di sini, Paramount Embun Hills akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 69.2 ekar seawal November ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029 nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad, Jeffrey Chew, perkembangan projek pembangunan hartanah oleh syarikat itu di Pulau Pinang dalam dekad yang lalu mencerminkan keyakinan kukuh mereka terhadap kawasan yang dinamik dan berpotensi tinggi untuk membangunkan projek baharu itu.
“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam perancangan bandar, kami berhasrat untuk memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Justeru, dengan (kewujudan) Paramount Embun Hills, kami membayangkan sebuah bandar yang menjadi pilihan keluarga untuk membina masa depan dan perniagaan untuk berkembang maju,” katanya pada majlis pelancaran projek berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di galeri jualan projek tersebut di Icon City di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property, Chee Siew Pin; Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property Wilayah Utara, Wang Chong Hwa serta beberapa pemimpin negeri yang lain.
Mengikut perancangan, sebanyak 497 rumah dua tingkat berpagar dan berpengawal, 69 unit rumah tanpa pagar, dan 30 unit rumah kedai dua tingkat akan dibina di bawah projek tersebut dengan setiap rumah direka bentuk untuk memenuhi gaya hidup antara generasi.
Antara kemudahan ditawarkan di Embun Hills termasuk kelab rekreasi eksklusif, taman hijau, laluan air dan fasiliti yang bersesuaian mengikut semua peringkat usia. Embun Hills juga mengetengahkan elemen kelestarian seperti penggunaan tenaga solar, sistem tadahan air hujan, bahan binaan mesra alam dan landskap selain turut mengekalkan lebih 550 pokok serta tumbuhan tempatan.
Selain memupuk gaya hidup mesra alam dengan mengintegrasikan konsep tinggal-bermain-bekerja yang merangkumi pelbagai amalan mampan, kewujudan projek perumahan ini dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan bandar mampan di bahagian utara Semenanjung dengan infrastruktur yang dirancang secara teliti bagi memanfaatkan tenaga solar, pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta pemuliharaan air dan biodiversiti.
Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, pelancaran projek tersebut hadir pada masa yang sangat tepat memandangkan Seberang Perai kini memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi pembangunan seimbang dan inklusif Pulau Pinang dengan populasinya yang kini mencapai satu juta orang.
“Pelaburan berterusan mereka (Paramount Property) di sini membuktikan komitmen jangka panjang terhadap pertumbuhan dan potensi Pulau Pinang.
“Dalam hal ini, kami (kerajaan negeri) menghargai kerjasama ini serta peranannya dalam membentuk komuniti yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” kata beliau. – UTUSAN