KUCHING: Tugas menjaga dan membungkus bekalan dadah membawa padah buruk buat seorang lelaki berusia 22 tahun apabila ditangkap dan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, atau dikenakan 12 sebatan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata suspek ditangkap dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres satu tingkat yang disewa di Tabuan Desa, di sini kira-kira pukul 11.30 malam, 22 Ogos lalu.
Katanya hasil serbuan turut merampas dadah jenis MDMA seberat 74.3 kilogram, ketamin seberat 20.83 gram dan Erimin 5 seberat 11.04 gram, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.4 juta termasuk peralatan penyimlanan dan pembungkusan dadah.
“Suspek mula aktif dalam sindiket tersebut sejak Ogos ini, dengan ditugaskan untuk menjaga bekalan dadah dan membungkus dadah tersebut dalam peket plastik sebelum diedarkan kepada pelanggan di Kuching.
“Suspek menerima bekalan dadah dan wang berbelanjaan sebanyak RM1,000 daripada ahli sindiket di rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Saifullizan menambah, ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif dadah dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Ogos ini untuk siasatan lanjut.
Beliau menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau lenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Saifullizan berkata, pihaknya juga sedang giat memburu ahli sindiket yang masih bebas bagi memastikan rangkaian sindiket itu dilumpuhkan sepenuhnya. – UTUSAN










