Orang Sabah layak jadi Perdana Menteri

Orang Sabah layak jadi Perdana Menteri

ALIAKBAR GULASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin dari Sabah layak untuk menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai keupayaan dan wibawa untuk memimpin negara dan bukan mentadbir negeri itu sahaja.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, sudah tiba masanya rakyat membuka mata dan menerima hakikat bahawa anak Sabah bukan sahaja mampu memimpin di peringkat negeri, malah berupaya menerajui pentadbiran negara.

Beliau menegaskan, perjuangan berteraskan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dilaungkan sejak sekian lama kini semakin lapuk dan tidak lagi sesuai dengan landskap politik semasa.

“Orang Sabah bukan setakat duduk dan memerintah di Sabah. Orang Sabah boleh ke peringkat nasional. Orang Sabah boleh memimpin parti politik dan juga boleh jadi Perdana Menteri.

“Sejak dahulu, memang pemimpin Sabah yang memegang tampuk pemerintahan negeri. Namun kita tidak harus berhenti di situ sahaja. Saya juga yakin orang Sabah juga boleh jadi lagi baik dan juga memimpin Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, konsep yang lebih tepat ialah ‘Sabahan for Malaysia’ lebih mencerminkan keterbukaan dan kesediaan rakyat Sabah menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan.

“Kita tidak boleh melihat Sabah untuk Sabah semata-mata. Pemimpin Sabah harus dilihat sebagai aset negara yang mampu membawa penyelesaian kepada isu di Sabah dan juga membangunkan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden menamakan lima pemimpin komponen itu sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Antara calon tersebut adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan langkah menamakan mana-mana pemimpin gabungan PN sebagai calon Perdana Menteri adalah merupakan isu besar yang hanya boleh diputuskan selepas dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN