KUALA LUMPUR: Seramai 112 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam Op Perdana yang dijalankan bermula kelmarin hingga hari ini.
Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, sebanyak 96 tangkapan di sekitar ibu negara manakala 16 lagi di Labuan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil ujian saringan awal mendapati, kesemua individu termasuk lima wanita berusia 19 hingga 62 tahun didapati positif dadah.
Katanya, kebanyakan yang ditahan dikesan menagih dadah jenis sintetik.
“Pemeriksaan mendapati 77 penagih dadah jenis methamphetamine (syabu), 20 penagih heroin, lapan penagih ganja dan lima penagih benzo.
“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.
Ruslin berkata, seramai 20 individu telah ditahan di tapak pembinaan terbiar atau lebih dikenali sebagai ‘port imbi’ dikalangan penagih.
“Tempat penagihan itu telah dikesan aktif sejak 2023. Penagih akan datang ke lokasi itu antara pada 6 pagi sehingga pukul 10 pagi dan kemudiannya aktif semula antara 5 petang sehingga 7 malam.
“Anggaran penagih di kawasan itu adalah antara 15 hingga 30 orang pada satu-satu masa. Melalui dapatan AADK Wilayah Persekutuan, tempat tersebut juga digunakan penagih untuk membeli dadah sebelum mereka pergi atau pulang dari kerja,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh melibatkan lima buah AADK Daerah di bawah AADK Wilayah Persekutuan.
“Operasi itu melibatkan kekuatan seramai 23 pegawai dan 54 anggota AADK Wilayah Persekutuan dan menyasarkan beberapa lokasi tumpuan termasuk di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penyalahgunaan Dadah seperti di kawasan port terbuka dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Objektif utama pelaksanaan Op Perdana itu bertujuan untuk mengesan secara intensif penagih dan penyalah guna dadah bagi diberikan rawatan serta pemulihan yang ditawarkan oleh AADK menerusi program RPDI (rawatan dan pemulihan dalam institusi) atau RPDK (rawatan dan pemulihan dalam komuniti),” katanya.
Ruslin berkata, selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan (supply-demand) terhadap bahan terlarang itu di kawasan-kawasan sasaran serta memusnahkan port-port penagihan dadah daripada kekal aktif terutamanya di KBT yang telah dikenal pasti di seluruh Wilayah Persekutuan.
“AADK sentiasa bersedia untuk memastikan operasi pengesanan penagihan dan penyalahgunaan dadah ini diteruskan dari semasa ke semasa agar hasrat “Dadah Terkawal 2025” dapat direalisasikan,” katanya.- UTUSAN











