Niat mahu ‘pegang’ Indonesia, Syamel banyak rujuk Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Niat mahu ‘pegang’ Indonesia, Syamel banyak rujuk Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, mengakui sedang dalam proses pembikinan menghasilkan album terbaharu yang dijangka menemui pendengar tahun hadapan. 

Jelas Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 31, dia mendapat khidmat daripada pemuzik tempatan dan Indonesia sebagai langkah strategik untuk menembusi pasaran antarabangsa. 

“Saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pemuzik termasuklah dari Vietnam mahupun Myanmar. Tetapi saya fikir, yang paling dekat ialah Indonesia. 

“Negara itu adalah pintu terbaik untuk saya ketuk dan masuk ke sana. Namun kita semua sedia maklum bukan mudah untuk tembusi pasaran mereka.

“Dalam beberapa minggu lagi saya akan ke sana, ada beberapa individu yang perlu saya jumpa untuk berbincang lebih lanjut tentang album saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di The Exchange TRX, baru-baru ini. 

Dalam pada itu, Syamel tidak menafikan banyak berbincang dan meminta pendapat isteri, Ernie Zakri yang sudah pun mendapat pengiktirafan Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di SCTV Awards 2024 untuk lagu Masing Masing.

Ernie adalah isteri dan rakan duet saya. Semestinya saya akan tanya lebih lanjut bagaimana prosesnya sebab dia sudah melalui semua itu.

“Pada masa sama, dia juga sudah meletakkan satu penanda aras untuk rekod membanggakan bagi lagu Masing Masing. Jadi dia banyak tolong dan beri pendapat.

“Jadi kita tunggu macam mana proses rakaman saya di Jakarta nanti. Sebab apa yang paling penting ialah cari masa sesuai untuk keluarkan album ini,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Syamel turut menyanyikan lagu ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K untuk runut bunyi drama Seadanya Kita bertajuk Berakhir Kita.

“Sebelum ini saya banyak nyanyi lagu yang saya tulis sendiri. Apabila menyanyikan lagu orang lain, kita kena pandai juga mencari penghayatan sama seperti pelakon.

“Sebelum rakam lagu ini, saya ada tonton sedikit klip cerita watak utama drama ini. Saya lebih ‘rasa’ apa yang ingin mereka sampaikan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN