Bank Islam tersenarai 2-Star ESG Select List 2025 UNGCMYB

Bank Islam tersenarai 2-Star ESG Select List 2025 UNGCMYB

FAROZE Nadar (dua dari kiri) ketika menyerahkan sijil pengiktirafan ESG Select List 2025 kepada Datuk Mohd Muazzam Mohamed (dua dari kanan) di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) diiktiraf sebagai 2-Star Lister dalam ESG Select List 2025 oleh Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB), sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi itu dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pengiktirafan sulung berkenaan diberikan di bawah kategori The North Star ESG Target Setting serta Future-Fit & Responsible Workforce, mencerminkan kemajuan kukuh dan boleh diukur Bank Islam dalam memajukan agenda kewangan mampan dan pembangunan tenaga kerja bertanggungjawab.

Bank Islam dalam kenyataan berkata, pencapaian di bawah kategori North Star ESG Target Setting disokong oleh kejayaan institusi itu melepasi sasaran pembiayaan hijau di bawah pelan strategi perniagaan LEAP25 lebih awal daripada tempoh ditetapkan iaitu RM4 bilion menjelang 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada 2024, bank menyusun semula sasaran kewangan mampan 2025 kepada RM28 bilion dan setakat Jun 2025, sasaran baharu tersebut telah berjaya dilepasi,” katanya.

Selain itu, pengiktirafan dalam kategori Future-Fit & Responsible Workforce pula disumbang oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif Majikan Pilihan, termasuk Program Pembangunan Automasi Proses Robotik (RPA) BITIZEN yang memupuk budaya tempat kerja berteraskan keterangkuman, kebertanggungjawaban serta pembangunan bakat jangka panjang.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kedudukan Bank Islam sebagai institusi berdaya tahan dan berpandangan jauh dalam menerapkan prinsip ESG ke dalam strategi teras perniagaan.

“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Strategi Kemampanan serta Lima Komitmen Kemampanan Bank Islam, pengiktirafan ini mengesahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai berterusan kepada individu, masyarakat dan alam sekitar melalui standard ESG yang diiktiraf di peringkat global.

“Penyenaraian dalam ESG Select List turut mengukuhkan daya tahan institusi, meningkatkan keyakinan pelanggan serta menyediakan akses kepada penyelesaian kewangan yang bertanggungjawab, inovatif dan selari dengan prinsip Syariah,” katanya. 

Sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, oleh Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar, di Menara Bank Islam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bank Islam sedang memuktamadkan Strategi Kemampanan 2030 baharu serta Pelan Peralihan Iklim yang komprehensif sejajar dengan pengakhiran Hala Tuju dan Strategi Kemampanan 2025, bagi memastikan penciptaan nilai jangka panjang serta impak positif terhadap ekonomi dan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN