Negeri Sembilan wajibkan penjawat awam, ketua jabatan kibar Jalur Gemilang

Negeri Sembilan wajibkan penjawat awam, ketua jabatan kibar Jalur Gemilang

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan arahan wajib kepada semua ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini untuk mengibarkan bendera di kediaman masing-masing sepanjang tempoh sambutan bulan kemerdekaan bermula hari ini hingga 16 September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan mematuhi arahan ini akan dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab dalam menyemarakkan semangat patriotik penjawat awam.

“Ketua jabatan diwajibkan mengibarkan dua bendera, iaitu Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan di kediaman masing-masing, termasuk mereka yang tinggal di luar Negeri Sembilan. Penjawat awam pula sekurang-kurangnya perlu mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pekeliling rasmi berhubung arahan ini telah dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dua hari lalu kepada hampir 7,000 penjawat awam di seluruh negeri ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengubah kaedah pemasangan bendera di kawasan pentadbiran masing-masing, dengan menekankan pendekatan lebih kreatif dan menyerlah.

“Cukup dengan cara lama gantung di tiang dan selesai. Saya mahu PBT tampilkan kelainan. Bendera perlu dipasang dengan penuh semangat dan tidak lagi dilakukan secara sambil lewa,” katanya.

Sementara itu, katanya, Hospital Tuanku Jaafar 2 (HTJ) dicadangkan akan dibina di atas tapak seluas lebih 13 hektar 33 ekar di belakang Klinik Kesihatan Seremban.

Menurutnya, ia bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam di Negeri Sembilan susulan kekurangan katil yang berlaku di HTJ, Seremban.

Katanya, cadangan pembinaan hospital itu dibuat selepas kerja-kerja menaik taraf HTJ menyebabkan kehilangan sebanyak 188 katil, yang memberi kesan langsung terhadap keupayaan hospital menampung jumlah pesakit harian.

“Kehilangan kapasiti ini bukan sahaja membebankan sistem sedia ada, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap penduduk yang memerlukan rawatan segera dan berkualiti,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN