MyCARE sasar kutipan RM28 juta, majoriti disalur ke Palestin

MyCARE sasar kutipan RM28 juta, majoriti disalur ke Palestin

Roha Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyasarkan kutipan sebanyak RM28 juta tahun ini bagi membantu 25 buah negara yang berdepan krisis kemanusiaan dan bencana alam.

Pengurus Besar Operasi MyCARE, Roha Hassan berkata, sasaran itu sama dengan jumlah yang berjaya dikutip pihaknya sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, negara paling terkesan dan memerlukan bantuan kemanusiaan ketika ini adalah Palestin dengan 89 peratus sumbangan tahun lalu disalur ke negara itu.

“Tahun ini kita sasarkan kutipan sebanyak RM28 juta, Alhamdulillah setakat ini separuh daripada jumlah itu telah berjaya dikumpulkan melalui sumbangan rakan kongsi, syarikat korporat dan perseorangan.

“Majoriti daripada sumbangan akan disalur ke Palestin melalui pembelian barangan seperti makanan dan minuman, pakaian, ubat-ubatan, bahan pendidikan serta anggota badan palsu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hi-Tea Kemanusiaan Bersamamu Palestin di Senai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MyCARE, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha; Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Tambah Roha, jumlah itu bagaimana tidak mencukupi kerana kemusnahan besar yang telah berlaku di seluruh Palestin susulan keganasan rejim Zionis sejak Oktober 2023 lagi.

“Sejak Oktober 2023 hingga Ogos ini, MyCARE telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk Palestin berjumlah RM25.9 juta yang telah beri manfaat kepada seramai 515,000 orang.

“Jumlah orang yang boleh dibantu sangat terhad kerana barangan di sana berharga sangat mahal, sebiji pisang mencecah harga sehingga RM50,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, Kamal Nasharuddin pula memberitahu, tindakan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin adalah satu keganasan dan seharusnya dikecam masyarakat seluruh dunia.

“Sejak Oktober 2023 hingga kini, dianggar lebih 62,000 rakyat Palestin telah terbunuh dengan 156,000 yang lain cedera akibat serangan bertubi-tubi rejim Zionis. Jutaan lain menjadi pelarian dengan tiada akses kepada keperluan asas,” katanya.

Mana-mana pihak yang mahu membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551575004299, atau CIMB (8602135592) dan Bank Islam (12092010034904).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN