DI sebalik kemegahan Istiadat Persandingan Diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, tumpuan hadirin terarah kepada persalinan yang sarat warisan Melayu.
Sinaran lampu balairung yang menyinari helaian kain keemasan menghidupkan suasana penuh adat dan kemuliaan, mencerminkan kehalusan seni warisan yang dijunjung tinggi.
Busana warna gading bersulam emas yang digayakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz bukan sekadar persalinan pengantin diraja biasa, tetapi lambang sejarah dan jati diri bangsa.
Dalam acara bersejarah itu, pilihan baginda berdua tertumpu kepada seni tekstil Melayu berusia ratusan tahun, telepuk, yang mengangkat teknik menghias kain dengan serbuk atau daun emas.
Telepuk yang suatu ketika dahulu hanya dikhaskan untuk golongan diraja, kembali bersinar di istana, menandakan kesinambungan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Motif yang dipilih ialah tampuk manggis, corak buah tempatan yang menjadi simbol kesucian, keindahan dalaman dan kekuatan yang tenang.
Dalam budaya Melayu, buah manggis sering digelar ‘ratu buah-buahan’ mencerminkan kelembutan dan keanggunan yang seimbang dengan martabat dan kekuatan wanita Melayu.
Motif ini turut menjadi penghormatan kepada Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah Almarhum Raja Ahmad, suri kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, moyang kepada Tengku Amir Shah.
Gabungan rekaan kontemporari dan teknik klasik melahirkan busana megah yang tetap anggun, mengangkat martabat seni Melayu ke peringkat tertinggi.
Malah, busana hijau tua menyerlahkan lagi sukma baginda berdua ketika istiadat makan beradab di Balai Santapan.

35 lagu dendangan nobat, orkestra
Saat pengantin diraja melangkah masuk ke Balairung Seri, gema paluan nobat memenuhi ruang, menambah seri kepada detik bersejarah itu.
Daripada judul lagu Arrival of the Queen of Sheba hingga Canon in D karya Pachelbel, setiap melodi dipilih rapi bagi menyerikan perjalanan istiadat penuh tertib.
Alunan lembut irama, diselang-seli dengan petikan saksofon juga membawa tetamu mengimbau suasana klasik istana Eropah dalam acuan budaya Melayu yang megah.
Sebanyak 35 lagu dimainkan sepanjang majlis, daripada karya klasik seperti Four Seasons hingga lagu cinta abadi Can’t Help Falling in Love merupakan pilihan baginda berdua sendiri sekali gus menggambarkan citarasa Raja Muda terhadap seni muzik.
Suasana dipenuhi haruman bunga rampai dan linangan syukur tatkala Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merenjis air mawar.
Bacaan doa yang dipimpin Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menutup istiadat dengan penuh keberkatan, sementara hadirin mengaminkan dalam suasana yang sarat syukur.
Busana bersulam emas itu bukan sekadar pakaian, tetapi cerminan kasih yang berakar pada tradisi, bernafas dalam adat dan terus hidup dalam sejarah bangsa.










