Modul PUSPEN ditransformasi kepada latihan TVET

Modul PUSPEN ditransformasi kepada latihan TVET

AHMAD Zahid Hamidi berbual dengan klien selepas melancarkan pusat gimnasium.pada majlis Lawatan Kerja ke PUSPEN Dengkil, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Modul rawatan dan pemulihan di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara akan ditransformasikan kepada modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia penting bagi membekalkan penghuni (klien) PUSPEN dengan kemahiran bersesuaian seiring keperluan industri semasa apabila mereka keluar dari pusat rawatan itu kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah ini bertujuan memberikan latihan berimpak tinggi kepada klien PUSPEN di seluruh negara.

Selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau komited membantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PUSPEN di seluruh negara dalam melaksanakan modul baharu itu.

“Dengan kerjasama Majlis TVET Negara, klien yang tamat latihan akan dijamin peluang pekerjaan dalam bidang profesional, sekali gus membuka masa depan yang lebih cerah.

“Apabila mereka tamat latihan di sini (PUSPEN) nanti, mereka boleh terjun di dalam bidang pekerjaan mengikut latihan TVET yang mereka jalani,” katanya ketika berucap pada majlis Lawatan Kerja ke PUSPEN Dengkil di sini, hari ini.

Katanya, klien yang berminat mengikut kursus keusahawanan juga akan disalurkan kepada program TVET dengan kursus lanjutan dalam bidang tersebut.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan membincangkan perkara ini bersama SME Corp dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyediakan latihan khusus keusahawanan.

“Insya-Allah, saya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk menyediakan belanjawan bagi melaksanakan kursus-kursus ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyeru kepada klien PUSPEN supaya berusaha memutuskan rantai kemiskinan dan jenayah penagihan dadah yang akan menjejaskan kehidupan mereka.

“Untuk itu, saya mahu supaya di mana-mana PUSPEN yang wujud, jangan ia dikonotasikan oleh masyarakat sebagai pusat hukuman semata-mata. Sebenarnya, PUSPEN adalah rumah harapan baru untuk klien yang ada,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa lebih satu jam bagi menyantuni klien di pusat rawatan dan pemulihan ini termasuk melancarkan pusat gimnasium.

Beliau turut berkesempatan meninjau projek tanaman rock melon yang diusahakan klien PUSPEN Dengkil selain melawat bilik asingan klien. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN