Turkiye, Syria meterai perjanjian ketenteraan, sasar latih dan lengkapkan tentera - Utusan Malaysia

Turkiye, Syria meterai perjanjian ketenteraan, sasar latih dan lengkapkan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Turkiye akan membantu Syria dalam penyediaan sistem persenjataan dan peralatan logistik di bawah perjanjian kerjasama ketenteraan yang dimeterai pada Rabu lalu, menurut sumber Kementerian Pertahanan negara itu semalam.

Sumber berkenaan berkata, Ankara juga bersedia melatih tentera Syria dalam penggunaan kelengkapan tersebut sekiranya diperlukan.

Sebagai langkah awal ke arah perjanjian kerjasama ketenteraan yang lebih menyeluruh, Turkiye dan Syria menandatangani memorandum persefahaman mengenai latihan ketenteraan dan khidmat perundingan selepas rundingan antara menteri luar, menteri pertahanan dan ketua perisikan kedua-dua negara.

Menurut sumber itu lagi, Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui puak Kurdish dan disokong oleh Amerika Syarikat (AS) masih belum memenuhi sebarang syarat yang ditetapkan dalam perjanjian Mac lalu berhubung integrasi kumpulan itu ke dalam agensi keselamatan negara Syria.

Ankara, tegas sumber berkenaan, menjangkakan SDF segera mematuhi perjanjian tersebut tanpa sebarang kelewatan.

Sebagai sekutu utama Syria sejak penggulingan Presiden Bashar al-Assad pada Disember tahun lalu, Turkiye berikrar membantu melatih serta menyusun semula pasukan angkatan tentera negara itu, membangunkan semula infrastruktur dan institusi kerajaan, selain menyokong usaha mempertahankan integriti wilayah Syria.

Pada bulan lalu, pegawai kementerian pertahanan Turkiye memaklumkan tentera Syria memerlukan penstrukturan semula selepas bertahun-tahun bergolak, dengan kelemahan ketara dalam disiplin, latihan, organisasi dan pemodenan.

Ketika ini, Turkiye masih menempatkan tenteranya di utara Syria, menguasai sebahagian besar kawasan sempadan selepas beberapa siri operasi ketenteraan terhadap SDF.

Kumpulan itu menguasai kebanyakan wilayah timur laut Syria, manakala sayap militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) enggan dibubarkan walaupun Parti Pekerja Kurdistan (PKK) telah memulakan proses pelucutan senjata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×