Mesyuarat GBC: Malaysia harap syarat rujukan diterima Thailand, Kemboja

Mesyuarat GBC: Malaysia harap syarat rujukan diterima Thailand, Kemboja

MOHAMAD Hasan ditemui pemberita di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia berharap kedua-kedua negara yang sedang berdepan konflik sempadan iaitu Thailand dan Kemboja dapat menerima syarat rujukan (term of reference) yang dicadangkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang telah bermula hari ini di ibu negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, butiran mesyuarat berkenaan kini di peringkat teknikal sebelum kemuncaknya berlangsung pada 7 Ogos ini yang membabitkan pemimpin di peringkat menteri.

“Kita berharap agar kedua-dua negara iaitu Thailand serta Kemboja telah pun bersetuju dengan terms of reference yang telah dibuat. Apa yang penting kita hendak mewujudkan apa yang dipanggil sebagai Pasukan Pemantau ASEAN.

“Ia untuk kita dapat mengekalkan gencatan senjata agar dua negara yang berjiran, yang bersahabat baik ini dapat duduk bersama-sama dan kembali semula.

“Kita mahu pastikan rakyat kedua-dua buah negara di antara sempadan (urusan harian) itu dapat dikembalikan semula dan juga sempadan kedua-dua negara itu dibuka semula supaya tidak terjejas kehidupan seharian rakyat di kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada GBC berkaitan kawasan persempadanan yang menjadi pertikaian antara Thailand dan Kemboja.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, mesyuarat tersebut diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur dengan kedua-dua negara bersetuju menghadirinya bagi bertujuan meneruskan rundingan damai demi menyelesaikan konflik sempadan di antara mereka.

Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Bagaimanapun pada 1 Ogos, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat berkenaan diadakan di Malaysia sebagai negara berkecuali selain tempohnya dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, mesyuarat berkenaan juga adalah bagi menjadikan gencatan senjata antara Thailand-Kemboja yang dicapai sebelum ini dapat dikekalkan.

“Itu sudah pun kita putuskan, cuma sekarang dalam peringkat untuk kita menggariskan terms of reference. Saya nampak tidak ada masalah untuk kedua-dua pihak untuk bersetuju dengan term of reference yang dicadangkan.

“Pihak Kemboja dan Thailand pun sudah dapat kita punya draf. Setakat hari ini saya tak nampak ada banyak bantahan.

“Cuma mereka menambah nilai term of reference tersebut bagi pihak masing-masing. Saya yakin bahawa mereka akan terus memastikan supaya gencatan senjata ini dapat jadi gencatan senjata kekal,” katanya.

Menurut beliau, setakat hari ini dalam tempoh tiga hari tidak ada apa-apa insiden-insiden yang berlaku di sempadan yang berkonflik/

“Malah, kita punya Panglima Angkatan Tentera pun telah pun mengadakan rundingan dengan Panglima Angkatan Tentera Thailand, Panglima Angkatan Tentera Kemboja dan juga telah pun berunding dengan komander wilayah di kedua-dua pihak.

“Ada empat tempat iaitu Komander Wilayah Zon 1, Zon 4 di sebelah Thailand manakala Komander Wilayah Zon 2 dan Zon 5 di sempadan di sebelah Kemboja,” katanya.

Menurutnya, di lokasi tersebut nanti, Pasukan Pemantau ASEAN membabitkan penasihat-penasihat ketenteraan masing-masing dari negara ASEAN akan bertugas untuk menjadi pemantau kepada usaha gencatan senjata tersebut berkekalan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×