PETALING JAYA: “Hari ini, genap tiga tahun engkau pergi dan aku masih merinduimu.”
Demikian kata pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad meluahkan rasa rindu terhadap arwah abangnya, Mohd Attaful Uzair Arshad yang hadir dalam mimpinya selepas tiga tahun meninggal dunia.
Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, berkata dirinya tidak mampu menahan sebak apabila sosok yang menyerupai abangnya mengimamkan mereka sekeluarga.
“Semalam aku menangis dalam tidur, Menangis hampir teresak, Bantal aku basah, Namun mata masih tertutup. Aku tak mahu mimpi ini berakhir, Kerana aku terlalu rindu.
“Rindu pada seseorang yang dah tak ada, Diungguli rasa sakit yang teramat. Dalam mimpi itu, aku dan seluruh keluarga besarku berada di sebuah masjid, besar dan indah.
“Dan dia, diayang menjadi imamnya. Baju Melayu putih yang dipakainya memancarkan nur ketenangan pada wajahnya. Aku rindu,” katanya menerusia sebuah hantaran di Instagram.
Lebih menyedihkan, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu mengakui rindunya terhadap arwah abangnya sedikit sebanyak terubat apatah lagi melihat keluarganya bersatu dalam mimpi tersebut.
“Usai solat, dia mengetuai bacaan doa. Lembut alunan suaranya, merdu kedengaran menembus jiwa.
Kemudian, seluruh ahli keluargaku memeluknya.
“Kami memeluknya erat, seolah-olah ini adalah pelukan terakhir. Apabila tiba di pintu utama masjid, sebaik sahaja kaki melangkah keluar dan pelukan dilepaskan, Dia hilang. Di sinilah aku menangis,” ceritanya.
Dalam hantaran sama, Uyaina turut berkongsi tangkap layar perbualannya berkongsi perkara itu dengan ibunya.
“Walaupun lewat sekelip mimpi, namun aku bersyukur kerana engkau hadir mengubat sedikit kerinduan yang menggunung,” ujarnya.
Untuk info, abang kepada pengacara itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada 19 Ogos 2022.










