Membesar tanpa figura bapa sejak kecil, Imran Aqil usaha jadi ayah terbaik - Utusan Malaysia

Membesar tanpa figura bapa sejak kecil, Imran Aqil usaha jadi ayah terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Imran Aqil, mengakui berdepan cabaran  membina peranan sebagai bapa kerana tidak dibesarkan dengan figura seorang ayah sejak usia tujuh tahun.

Imran atau Muhammad Imran Aqil bin Mohd Salehuddin, 25, berkata sejak orang tuanya bercerai, tanggungjawab membesarkan anak digalas sepenuhnya oleh ibu, Yasmi Abdul Hamid.

“Saya tidak dibesarkan dengan seorang ayah, semuanya emak yang buat sejak dari usia tujuh tahun. Jadi, saya tiada pengalaman secara langsung untuk dijadikan panduan dalam memainkan peranan sebagai seorang bapa.

“Disebabkan itu, saya perlu usaha sendiri untuk belajar. Saya banyak bertanya dan minta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman terutama bapa mentua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun menurut pelakon Soloz: Game Of Life itu, dia masih membina hubungan yang baik dengan bapa kandungnya sehingga hari ini.  

Tambah Imran, menimang cahaya mata pertama pada usia 25 tahun banyak membuka matanya untuk memahami naluri kasih sayang seorang bapa. 

“Sekarang saya rasa macam mana perasaan menjadi ayah terutama ketika anak saya sakit dan ditahan di wad selama tiga hari akibat COVID-19. Doktor  baru cucuk sikit anak saya, saya sudah nangis, rasa sangat beremosi. 

“Isteri saya tidak boleh tengok langsung terutama ketika doktor perlu masukkan tiub untuk sedut kahak dan hingus daripada paru-paru. Jadi saya yang pegang anak sepanjang prosedur. Anak pula baru berusia 52 hari waktu itu,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Imran turut berkongsi dia dan isteri yang juga pempengaruh, Dahlia Rizal, banyak berbincang cara mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu bapa. 

“Bila sudah jadi bapa, fokus pun berubah tidak hanya mahu cari rezeki tetapi juga luangkan masa bersama keluarga. Sebagai ibu bapa muda, ia sangat mencabar kerana kita semua ada cita-cita. 

“Isteri saya berkorban dari segi kerjaya, begitu juga saya yang akan tolak tawaran drama 40 episod untuk luangkan lebih masa di rumah. Kami ada buat jadual bergilir-gilir untuk jaga anak,” katanya. 

Terdahulu, Imran dan Dahlia sah bergelar suami isteri pada September 2023 selepas setahun mengikat tali pertunangan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN