Di saat sibuk membina kerjaya di dua negara tercinta iaitu Indonesia dan Malaysia, pasti ada yang tertanya-tanya sama ada Bunga Citra Lestari ini mempunyai ruang untuk melakukan aktiviti kegemarannya.
Tidak menafikan dirinya sentiasa sibuk bekerja, penyanyi yang lebih mesra disapa BCL itu gemar menonton drama Korea ketika dirinya mahu ruang untuk bersendirian.
“Saya suka menonton drama Korea. Pada saya, itulah cara saya mengisi masa lapang setelah sibuk bekerja.
“Akan ada masa, saya hanya duduk di dalam bilik dan menonton pelbagai drama bersiri untuk melegakan rasa penat. Dalam kata lain, itulah me time saya,” katanya kepada Pancaindera.
Kata BCL, meskipun dirinya lebih gemar menonton drama yang perlu menitiskan air mata, dia tetap akan seimbangkan dengan genre siri lain agar tidak terlalu terbawa emosinya.
“Saya banyak menonton drama bersiri yang sedih. Saya akan menangis sepuas-puasnya. Kemudian, saya akan tukar emosi saya dengan menonton drama yang lebih santai supaya boleh kembalikan semula emosi gembira itu.
“Pada saya, perkara itu sangat perlu kerana kita tidak boleh bersedih terus. Jadi, itulah cara saya seimbangkan emosi saya ketika masa lapang,” kongsinya.
Pada ‘masa sama, penyanyi lagu Cinta Sejati itu mengakui dia juga suka memasak dan menjamu keluarga tercinta dengan hasil air tangannya.
“Selain menonton drama Korea, saya juga akan berasa tenang apabila dapat beraksi di dapur untuk memasak dan baking.
“Jika ada yang mengikuti perkongsian saya di YouTube, saya juga selalu memuat naik momen ketika diri saya sibuk memasak terutamanya pada musim perayaan,” ceritanya.
Ditanya apakah juadah yang paling mahir untuk disediakan? Penyanyi yang berusia 42 tahun itu yakin menyatakan dirinya handal dalam memasak rendang dan membuat kek coklat.
Katanya lagi, kedua-dua juadah itu merupakan juadah wajib untuk dihidangkan buat para tetamu yang datang ke kediamannya setiap kali musim perayaan.
“Pernah satu ketika itu, kek coklat saya menjadi rebutan dalam kalangan tetamu yang hadir terutamanya rakan rapat. Jadi, saya akan buat lebih supaya semua orang dapat menikmatinya.
“Selain itu, saya juga boleh memasak masakan western kerana anak saya, Noah amat menyukainya. Tetapi banyak juga yang saya masih belajar kerana setiap kali cuba resipi baru saya rasa lega,” jelasnya.
Tambah BCL, hatinya akan berasa puas setiap kali melihat ahli keluarga atau tetamu yang datang menikmati juadah yang disediakannya.
“Pada saya, memasak sangat menyeronokkan dan saya sangat suka memberi orang makan. Hati saya akan berasa gembira apabila melihat mereka makan hasil air tangan saya,” katanya.










