SEREMBAN: Gara-gara berselisih faham dan cemburu, seorang lelaki maut ditikam di pekarangan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, Senawang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian membabitkan mangsa berusia 28 tahun yang ditikam oleh suspek lelaki berusia 31 tahun.
Katanya, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa. Suspek telah menikam dada mangsa dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kematian,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 7.28 petang oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Polis berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang awam dengan merampas sebilah pisau. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohamad Hatta berkata, suspek direman sehingga 18 Ogos ini untuk membantu siasatan.
Sementara itu, jiran berusia 66 tahun yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian sekitar pukul 6.30 petang, dia mendengar jeritan bapa mangsa dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah.
“Ketika itu saya tidak fikir panjang terus hubungi ambulans, keadaan mangsa seperti sudah tidak dapat diselamatkan (nyawa-nyawa ikan). Kemudian saya ambil tali dan ikat suspek supaya dia tidak melarikan diri sebelum polis tiba,” katanya.
Mayat mangsa akan disembahyangkan di Surau Taman Seri Pagi selepas solat Zohor dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Heights. – UTUSAN










