GEORGE TOWN : Insiden anak panah melepasi sasaran dan mengenai sebuah kereta milik orang awam di Jalan Macalister di sini, baru-baru ini dikenal pasti berpunca daripada masalah teknikal yang terjadi pada alatan memanah atlet yang terlibat.
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dalam satu kenyataan berkata, susulan masalah teknikal itu, anak panah yang dilepaskan bergerak melepasi jarak sasaran asal yang sepatutnya.
“lni merupakan satu kemalangan yang tidak disengajakan, di luar kawalan dan tidak terduga berlaku melepasi zon jarak keselamatan yang telah ditetapkan selaras dengan piawaian dan ketetapan yang digariskan dalam peraturan badan induk memanah antarabangsa iaitu World Archery.
“Kejadian itu juga adalah pertama kali berlaku sejak sesi latihan memanah berprestasi tinggi dilaksanakan dì padang sekolah berkenaan sejak tahun 2009,” katanya di sini, hari ini.
Insiden yang berlaku pada 13 Ogos lalu itu tular di media sosial apabila seorang lelaki berusia 57 tahun mendakwa, pintu kanan belakang keretanya secara tiba-tiba tertusuk anak panah yang dipercayai muncul daripada aktiviti sukan memanah di lokasi berhampiran.

Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa dikatakan telah membuat laporan polis susulan kejadian berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.
Mengulas lanjut, MSNPP memberitahu, sesi latihan bagi sukan memanah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi itu telah ditangguhkan serta-merta iaitu pada hari kejadian sehingga langkah keselamatan tambahan disediakan di lapang sasar memanah berkenaan.
“Pada masa yang sama, kami sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dapat menggantikan penggunaan padang sekolah berkenaan untuk dijadikan sebagai pusat latihan sukan memanah yang baharu sebagai persediaan pasukan menyertai SUKMA XVII Selangor 2026,” ujarnya.
Dalam pada itu, MSNPP memaklumkan, SK Jalan Residensi selaku tuan punya kawasan dan pihak pengurusan padang sekolah yang dijadikan Pusat Latihan Memanah Negeri tidak terlibat secara langsung dalam program latihan memanah yang dikendalikan sepenuhnya oleh mereka dengan kerjasama Persatuan Sukan Memanah Negeri Pulau Pinang.
“Kami juga memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis yang sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat). Oleh itu, pihak Majlis (MSN Pulau Pinang) menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya lagi.
Difahamkan, sebagai langkah bertanggungjawab juga, MSNPP telah membuat pembayaran ganti rugi kepada pemilik kenderaan yang terlibat.-UTUSAN