Lelaki disaman RM23,000 kerana silap taip plat kereta - Utusan Malaysia

Lelaki disaman RM23,000 kerana silap taip plat kereta

GAMBAR fail dua anggota polis meronda di sebuah parkir di London. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang ahli perniagaan di United Kingdom (UK) terkejut apabila pulang daripada percutian dan mendapati peti suratnya dipenuhi dengan tiket saman letak berjumlah £4,500 (RM23,998).

Erin Short telah membayar £150 (RM799) untuk menyewa ruang parkir bersebelahan rumahnya di Manchester selama tiga minggu, namun tanpa disedari dia telah melakukan kesilapan kecil yang memakan belanja besar.

Akibat tersilap menaip angka 0 dan bukannya huruf O pada kotak pendaftaran kereta, syarikat tempat letak kereta swasta tersebut mendendanya sebanyak £65 (RM346) setiap hari selama 21 hari.

Meskipun Short telah memberitahu bahawa ia adalah kesilapan jujur yang tidak disengajakan, syarikat terbabit enggan berganjak daripada keputusan mereka.

Apabila beliau enggan membayar denda tersebut, pihak syarikat telah menghantar lebih 300 pucuk surat dalam tempoh enam bulan, mengugut untuk melibatkan pegawai penyita dan tindakan mahkamah. 

Keadaan menjadi lebih parah apabila jumlah denda tersebut meningkat secara berperingkat sehingga mencecah £4,500 (RM23,998)

Kes Short dibawa ke mahkamah di mana kos tiket tersebut akhirnya dihapuskan, namun beliau tetap terpaksa menanggung bil guaman yang mahal berjumlah £1,000 (RM5,332)

Kecewa dan marah dengan sistem tersebut, beliau memutuskan untuk melakukan sesuatu bagi membalas dendam terhadap industri tempat letak kereta.

Short kemudian menumpukan masa sejak beberapa tahun lalu untuk mencipta aplikasinya sendiri dikenali sebagai Parc, yang direka dengan dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghalang pengguna-pengguna daripada dikenakan saman parkir.

“Pengalaman ini membuka mata saya tentang betapa rosaknya penguatkuasaan parkir. Tiada industri lain di mana terlewat lima minit boleh menyebabkan saman berpuluh kali ganda lebih tinggi daripada kos asal,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN