Mara sasar kutipan pinjaman RM1 bilion tahun ini

Mara sasar kutipan pinjaman RM1 bilion tahun ini

ZULFIKRI Osman (tiga dari kanan) membuat gimik pelancaran Program Himpunan Usahawan Perlis 2025 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis, hari ini. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mensasarkan kutipan pinjaman sekurang-kurangnya RM1 bilion pada tahun ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman berkata, sebahagian besar pinjaman diberikan oleh Mara adalah bertujuan bagi membantu golongan pelajar dalam sektor pendidikan dan usahawan melibatkan bidang perniagaan.

Katanya, menjelang tempoh akhir bulan ini, Mara juga berada pada landasan betul bagi mencapai sasaran kutipan pinjaman sehingga RM1 bilion itu.

“Skim pinjaman kita ini luas dan untuk pelajar, mereka hanya akan mula membayar pinjaman tersebut setelah menamatkan pengajian kelak. 

“Manakala untuk usahawan pula, dalam setahun anggaran kita beri pinjaman lebih kurang RM400 juta dan kebanyakan pinjaman itu, Mara beri tempoh bayaran balik selama 10 tahun,” katanya ketika ditemui selepas Program Himpunan Usahawan Perlis 2025 di sini, hari ini. 

Zulfikri berkata, kutipan balik pinjaman itu juga dilihat bertambah baik dari masa ke semasa hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh Mara sebelum ini.

“Saya boleh katakan pada ketika ini, kutipan bertambah baik, kalau kita bagi pinjam kepada 10 orang, lima daripadanya tidak akan bermasalah namun selebihnya mungkin berdepan kekangan tertentu buat pembayaran. 

“Kita juga beri pelbagai pilihan kepada usahawan antaranya dengan membuat penjadualan semula pembayaran dan sebagainya,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Zulfikri berkata, seramai 2,000 usahawan di negeri ini telah menerima kemudahan daripada Mara dengan peruntukan sebanyak RM20 juta sekali gus mewujudkan sebanyak 3,500 peluang pekerjaan tahun ini. 

Tambah beliau, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa minat dan penglibatan masyarakat dalam bidang keusahawanan semakin meningkat dan dapat menjana pendapatan buat isi rumah. 

“Mara komited dalam meningkatkan penglibatan usahawan tempatan serta memperkasakan usahawan mikro serta perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam pembangunan ekonomi di negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN