Kolej Diraja berkembang, perlu hospital pengajar

Kolej Diraja berkembang, perlu hospital pengajar

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (Kolej Diraja) di Ipoh, semalam. Turut hadir, Ahmad Zahid Hamidi, Zambry Abdul Kadir (tiga, kiri) dan Saarani Mohamad (kiri). – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (Kolej Diraja) di sini perlu memiliki hospital pengajar sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan perkembangan pesat institusi bertaraf diraja itu yang membolehkan hospital pengajar diwujudkan sebagai mercu tanda baharu ilmu dan bakti.

“Bukan sahaja untuk memperkukuh aspek pengajaran dan pembelajaran, malah keberadaan hospital pengajar ini membawa limpahan rahmat kepada masyarakat.

“Ia sekaligus mengurangkan kesesakan hospital serta memberi sumbangan besar kepada rakyat dan negara,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak Kolej Diraja di sini, semalam.
Majlis disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat mempertimbangkan penambahan sekurang-kurangnya 250 kuota baharu bagi pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di Kolej Diraja.

Menurutnya, tambahan kuota tersebut amat penting bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan.

“Dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Kesihatan di sini, disaksikan Tuanku, saya yakin kerjasama dua kementerian ini dapat merealisasikan penambahan kuota ini,” katanya.

Kolej Diraja yang diasaskan pada 18 Februari 1999 atas perke­nan dan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, kini menjadi antara institusi pendidikan Mara bertaraf Diraja paling berjaya di negara ini.

Sehingga kini, lebih 10,950 graduan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan telah dilahirkan, berkhidmat dalam serta luar negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN