Malaysia cipta sejarah, laksana pembedahan implan koklea pintar kanak-kanak pertama di Asia Tenggara

Malaysia cipta sejarah, laksana pembedahan implan koklea pintar kanak-kanak pertama di Asia Tenggara

GOH (duduk tengah) bersama Jayden dan Teh. Turut kelihatan Fatimah Sazari dan Cho Kai Shuo. - UTUSAN/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Kepakaran UKM (UKMSC) melakar sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan implan koklear pintar pertama di Asia Tenggara ke atas kanak-kanak berusia enam tahun.

Pembedahan yang dijalankan pada 30 Julai lalu diketuai oleh Pensyarah Fakulti Perubatan UKM dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Prof. Goh Bee See dengan kerjasama pasukan implan koklear Hospital Canselor Universiti Tuanku Muhriz (HCTM) yang terdiri daripada pakar bedah ENT, audiologi, ahli terapi pertuturan, pakar pediatrik, radiologi dan profesional kesihatan lain.

Pembedahan dijalankan selama dua jam itu, berjaya memulihkan pendengaran sebelah kiri Jayden Jing Long Kwa yang mula kehilangan pendengaran hampir 80 sehingga 90 peratus sejak berusia tiga tahun.

Implan koklear pintar ini dilengkapi dengan kecerdasan termaju yang mana perisiannya boleh dinaik taraf, mempunyai memori terbina dan pemprosesan bunyi lebih ringan dengan kapasiti hayat bateri lebih lama, memberikan keselesaan, kecekapan dan prestasi lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Prof. Goh berkata, sebelum ini pembedahan menggunakan implan koklear pintar ini dijalankan ke atas seorang dewasa tetapi kita mencatat sejarah pertama kali menjalankan pembedahan di membabitkan kanak-kanak di peringkat Asia Tenggara. Pembedahan ini dijalankan di bawah mikroskop.

“Komponen dalaman alat pintar ini dimasukkan di bahagian bawah kulit kepala dan elektrod dengan diameter berukuran kurang satu milimeter dimasukkan ke dalam koklear iaitu organ pendengaran. Bahagian luaran iaitu alat pemproses bunyi akan berhubung dengan alat dalaman yang di bawah kulit tadi bagi membolehkan mereka mendengar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Turut hadir Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran, Fatimah Sazari, dan Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan, Cho Kai Shuo.

Bagaimanapun kanak-kanak berkenaan perlu menjalani proses pemetaan bunyi bersama pakar audiologi dan menjalani terapi pertuturan bagi melancarkan pertuturan dalam tempoh tertentu iaitu sekitar enam bulan sehingga setahun.

Pembedahan ini bukan sekadar mengenai memulihkan pendengaran tetapi ia mengenai memulihkan hubungan komunikasi dan keyakinan kanak-kanak ini. Dengan membawa teknologi canggih, kami menetapkan piawaian baru untuk penjagaan pendengaran di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, nenek kepada Jayden, Teh Chian Ee, 54, gembira apabila melihat tindakbalas ditunjukkan cucunya itu sebaik saja alat pendengaran itu diaktifkan oleh Fatimah.

“Saya terharu melihat tindakbalas pantas Jayden apabila dipanggil namanya. Sebelum ini, Jayden menggunakan alat bantuan pendengaran konvensional. Selepas pembedahan memasukkan alat pendengaran pintar, Jayden mampu mendengar walaupun selepas menanggalkan alat bantuan yang lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN