‘Mahu rehat daripada berlakon, tapi baru dua minggu sudah gatal tangan’ - Utusan Malaysia

‘Mahu rehat daripada berlakon, tapi baru dua minggu sudah gatal tangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hajat pelakon, Datuk Remy Ishak, 42, untuk berehat panjang daripada dunia lakonan belum terlaksana apabila jadual kerjanya padat sehingga tahun hadapan.

Menurut Remy, perancangan asalnya dia mahu meluangkan masa bersama keluarga terutama anaknya, Tuah Alam yang kini sedang membesar. 

“Memang saya jarang kongsi kerja di media sosial tapi sebenarnya jadual saya agak padat dan baru sahaja selesai penggambaran filem aksi seram, Mikail. 

“Sepatutnya lepas projek itu, saya memang berjanji dengan diri sendiri untuk berehat. Saya sudah maklumkan kepada semua orang, malah saya terpaksa menolak tawaran satu filem daripada pengarah Adrian Teh kerana benar-benar mahu berehat.

“Saya ingatkan bolehlah berehat, tetapi kemudian datang pula tawaran lain. Saya sudah beritahu isteri yang saya mahu berehat, tetapi nampaknya tak boleh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah pemegang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-31 itu lagi, ada drama yang ditulis dengan skrip berkualiti membuatkan dia berat hati untuk menolak tawaran tersebut.

“Ada skrip daripada Media Prima yang susah untuk saya katakan tidak, sebab skripnya bagus. Jadi sekarang saya sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri itu sehingga September ini.

“Selepas itu, saya akan masuk ke set penggambaran filem lain pula. Jadual saya berterusan dan sudah terisi sehingga hujung tahun depan. Jadi, perancangan untuk berehat itu hanyalah dalam mimpi,” selorohnya.

Dalam pada itu, pelakon Sangkar itu juga mengakui dirinya seorang yang kuat bekerja membuatkan dirinya sukar membiasakan diri untuk berdiam tanpa melakukan sebarang aktiviti seni.

“Sejujurnya saya ini seorang workaholic. Saya cuba merancang untuk berehat sebulan dua, tetapi tak boleh. Masuk minggu kedua sahaja, tangan sudah mula ‘gatal’ untuk kembali bekerja,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN