Lima warga Iran didakwa atas kesalahan jenayah, dadah, imigresen - Utusan Malaysia

Lima warga Iran didakwa atas kesalahan jenayah, dadah, imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan berasingan membabitkan kesalahan jenayah curi, dadah dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap kesemua tertuduh iaitu Tarfi Ghader, 33; Fazeli Payam, 33; Dinarvand Siavash, 28; Zahra Hasani, 39, dan Sara Ghiyas, 19; tidak dibacakan di mahkamah hari ini memandangkan kesemua mereka tidak memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, R. Thandayuthabany Pillay memohon agar jurubahasa yang mahir bahasa Parsi dibawa ke mahkamah untuk membaca pertuduhan dan memohon agar sebutan semula kes-kes berkenaan pada tarikh lain.

Di Mahkamah Majistret 1, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin memohon agar kesemua tertuduh yang didakwa berkaitan Akta Imigresen tidak dibenarkan diikat jamin.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin kemudiannya menetapkan tarikh 10 September ini untuk sebutan semula kes dan menunggu jurubahasa.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret 2 pula, Tarfi, Fazeli dan Dinarvand berdepan dengan pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mereka.

Majistret Muhammad Amzar Ismail kemudian menetapkan kes disebut semula pada tarikh sama, dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, kelima-lima tertuduh menghadapi pertuduhan memiliki dadah, namun, kes tersebut turut ditangguh pada tarikh yang sama manakala di mahkamah yang sama juga, Tarfi turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu jenayah mencuri.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon agar jaminan tidak diberikan kepada semua tertuduh. Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudiannya bersetuju untuk menangguhkan pertuduhan dan kes disebut semula pada 10 September.

Kesemua pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, pada 3 Ogos lalu, media melaporkan polis menumpaskan satu sindiket curi wang tunai melibatkan pelancong asing dipercayai warga Iran dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan tumpuan pelancong, Gurney Plaza di sini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, operasi khas itu dijalankan susulan tiga laporan polis yang diterima antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu berhubung kehilangan wang tunai melibatkan pelancong dari Taiwan, Belanda dan Syria di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN