Lima suspek merusuh ketika perlawanan bola sepak direman dua hari - Utusan Malaysia

Lima suspek merusuh ketika perlawanan bola sepak direman dua hari

TIGA daripada lima suspek yang disyaki terlibat kes merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Lima lelaki yang diburu kerana disyaki terlibat kes merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy di sini Khamis lalu, ditahan reman selama dua hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman sehingga esok itu diperoleh selepas kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi tadi.

Katanya, permohonan reman itu dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Lima suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan semalam. Mereka yang ditahan merupakan pemain dalam perlawanan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tujuh lelaki berusia 21 hingga 31 tahun ditahan kerana disyaki terlibat kejadian merusuh ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.

Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertelingkahan antara mereka.

Pertelingkahan itu kemudian menyebabkan pergaduhan besar membabitkan semua pemain serta dua penonton selain pengadil yang turut diserang oleh beberapa individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN