LUMUT: Penampilan Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi-Pro bermula langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada UM-Damansara United dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini semalam.
Pemain gantian, Shafizi Ikmal muncul wira UM-Damansara United apabila menjaring gol kemenangan pasukan pelawat.
Jaringan pada minit ke-73 itu meranapkan impian tuan rumah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan sulung liga tersebut.
Dalam perlawanan seimbang itu, kedua-dua pasukan gigih berusaha mencari jaringan.
Pelawat menguasai perlawanan, tetapi anak buah Syamsol Saad juga tidak mudah menyerah.
Pasukan tuan rumah barjaya memberikan cabaran kepada pelawat tetapi akhirnya kecewa dengan sentuhan Shafizi.
Beraksi di atas padang yang licin akibat hujan, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol yang diperlukan.
Namun kurang pengalaman menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun usaha UM-Damansara berjaya apabila Shafizi merembat kencang bola ke dalam gawang Perak untuk membawa pulang tiga mata. – UTUSAN