GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun berdepan detik-detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terkena sebatang anak panah ketika melalui Jalan Macalister di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 13 Ogos lalu itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Ayer Itam menuju ke Jalan Pangkor apabila menyedari pintu kanan belakang keretanya secara tiba-tiba tertusuk anak panah yang dipercayai muncul daripada aktiviti sukan memanah di lokasi berhampiran.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan susulan insiden itu bagaimanapun telah membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
“Hasil semakan polis kemudian mendapati, kejadian tersebut berlaku berhampiran sebuah padang sekolah di Jalan Macalister yang ketika itu sedang mengadakan sesi latihan untuk sukan memanah anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang.
“Sesi latihan itu bagaimanapun telah diberhentikan pada 14 Ogos lalu iaitu sehari selepas kejadian dilaporkan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, selain turut dimaklumkan kepada MSN Pulau Pinang serta Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.-UTUSAN