Lelaki terjun lombong ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Lelaki terjun lombong ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemukan lemas selepas terjun ke dalam lombong berhampiran Kampung Dato' Ahmad Said 3 Manjoi di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang hilang selepas dipercayai terjun ke dalam lombong berhampiran jambatan Kampung Dato’ Ahmad Said 3, Manjoi semalam, ditemukan lemas hari ini.

Mayat V. Premkumar berusia 43 tahun dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada jarak lima meter dari tebing pada pukul 7.26 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.25 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat daripada orang awam di lokasi kejadian, mangsa dikatakan terjun ke dalam lombong meskipun telah dipanggil untuk naik ke darat.

“Lelaki itu dikatakan terus berenang ke tengah lombong sebelum hilang dari pandangan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, SAR segera diaktifkan dengan membuka Pusat Kawalan Bomba (PKB) di lokasi dengan operasi pemantauan dan pencarian dijalankan di sekitar tebing lombong.

Katanya, operasi yang disambung hari ini menggunakan sebuah bot kemudiannya berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung tidak jauh dari tebing.

“Mangsa segera dibawa naik ke tebing dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN