IPOH: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Lahat di sini kelmarin.
Kejadian sekitar pukul 3.10 petang itu menyebabkan mangsa berusia 55 tahun parah selepas digilis sebuah treler dan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan motosikal dinaiki mangsa, sebuah treler dan kereta yang belum dikenal pasti nombor pendaftaran.
Katanya, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah Batu Gajah ke Menglembu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong kiri ke kanan.
“Tindakan lelaki itu menyebabkan motosikal mangsa dilanggar kereta dari arah belakang dengan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar treler dan diseret sejauh 18 meter.
“Mangsa yang cedera parah disahkan maut di lokasi kejadian. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemandu kereta berkenaan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai kamera papan pemuka tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syafiq di talian 013-6713177 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN